Saturday, August 20, 2011

Simpang

Lampu hijau yang tadinya megah berdiri bertukar daripada kuning menjadi merah. Lampu isyarat yang terpacak di tengah-tengah ibukota Johor Bahru itu sudah empat tahun berdiri di situ. Tak pernah sekali ia mengeluh panas merungut sejuk dikala malam mampir menjengah bersama angin dingin sepoi-sepoi.

Pantas injak brek ditekan Farid apabila menyedari yang dia takkan sempat melepas garisan putih yang selari dengan tiang lampu isyarat itu. Dia mengambil keputusan untuk memberhentikan kenderaan yang dipandunya. Kereta mewah miliknya itu didaftar atas nama isterinya kerana dia sudah pun memiliki dua biji kereta sport dan satu kereta antik. Farid memang gemarkan kereta. Kadang-kadang waktu hari minggu, dia akan keluar bersiar-siar memandu kereta sportnya itu. Untuk ke tempat kerja, cukuplah buat dirinya memandu hanya kereta BMW 5 series berwarna hitam itu. Selesa dan boleh sampai ke tempat kerjanya pun sudah memadai.

Hari ini Farid terpaksa pulang awal kerana isterinya baru sahaja menelefonnya mengatakan badannya rasa tidak selesa. Maklumlah berbadan dua. Kalau ada rezeki, lahir anak ini merupakan anak sulung bagi mereka. Maria isteri yang baik dan taat pada kata suaminya. Dia mula berkenalan sejak dari bangku sekolah menengah lagi. Farid merupakan pelajar yang berpindah daripada Kuala Lumpur ke Johor Bahru pada waktu dia berada di tingkatan lima. Keluarga Farid berpindah atas urusan kerja ayahnya bagi memastikan keadaan syarikat benar-benar kukuh di cawangan barunya.

Seorang penunggang motosikal RX-Z berwarna putih perlahan memberhentikan motosikalnya bersebelahan dengan kereta Farid. Penunggang itu menolak visor helmetnya dan terus mengetuk cermin kereta Farid yang ber-tinted itu. Lantas Farid meraba-raba bahagian pintu sebelah kanannya untuk mencari butang yang dapat dia tekan bagi menurunkan cermin sisinya itu. Mulut lelaki itu berkumat-kamit seperti sedang mengatakan sesuatu. Tapi Farid kurang dengar akibat bunyi lagu yang kedengaran kuat terpasang di radionya.

Lagu daripada CD Projek Kesian oleh Fynn Jamal itu benar-benar mengganggu perbualan Farid dan lelaki itu. CD itu Farid beli secara online kerana isterinya itu sangat menggemari Fynn Jamal. Dicapainya butang off pada radio dan serta merta bunyi lagu itu hilang.

"Bro, lu apa pasal follow gua ?"

Farid yang tidak tahu apa apa tentang apa yang dicakapkan oleh lelaki berambut panjang itu terus membuat muka dengan hasrat agar lelaki itu memahami gaya mukanya yang ingin mengatakan bahawa dia tidak memahami lelaki itu.

"Eh lu ni bro, bikin gua panas je. Elak depan simpang tu kepala lu pecah je tengah jalan"

Berang benar lelaki itu terhadap Farid. Entah apa silap Farid pada lelaki itu sampai kasar sungguh bahasa yang dikeluarkan olehnya. Farid sekali lagi tidak mengerti dengan tindakan lelaki yang tidak diketahui langsung namanya itu. Dia benar-benar tidak faham.

"Eh lu sial lah bro, lu tunggu gua kat depan sana tu"

Lelaki itu mengajak Farid berhenti dan turun dari kenderaan masing-masing apabila sampai di simpang hadapan sana. Farid masih lagi terpinga-pinga tentang apa yang sebenarnya tekah berlaku menyebabkan lelaki itu benar-benar marah. Dengan keadaan isterinya yang memerlukan dirinya dengan kadar segera, dia masih ragu-ragu sama ada hendak mengikuti kata lelaki bermotosikal itu atau kata isterinya itu.

Belum sempat lampu merah itu bertukar hijau, lelaki itu memecut laju melepasi garisan putih yang tadinya tak dia lepasi. Bising bunyi ekzosnya memecah segala bunyi yang ada disekeliling. Farid masih lagi melihat gelagat lelaki itu. Masih tidak faham.

"Dangggg !"

Sebuah lori yang entah dari mana datangnya singgah merempuh motosikal yang dibonceng lelaki tadi. Terjatuh lalu terseret dia dibawah celahan tayar lori itu. Jauh juga seretan itu kerana lori itu benar-benar laju pada waktu pelanggaran tadi. Jarak waktu yang perlu diambil haruslah lama bagi memberhentikan kenderaan, lebih-lebih lagi kenderaan berat. Sebuah lori angkat barang. Farid yang daripada tadi tidak mengalihkan pandangannya tepat pada lelaki itu terus tergamam. Dia terkejut. Bunyi dentuman tadi sangat kuat. Pucat muka Farid. Pecah bersepai kepala lelaki itu dihentam kuat lori itu. Motosikalnya remuk teruk sama seperti tuannya.

Lampu merah bertukar, hijau. Farid tersentak. Dia teruskan memandu sambil biji matanya masih lagi merenung pada motosikal itu. Dia terkejut. Dia sedar yang dia perlu segera pulang untuk bertemu isterinya untuk dibawa ke klinik yang berdekatan. Farid berpeluh. Dia cuba tenangkan dirinya.


0 suara balas:

Post a Comment